“Saya Fikir Diri Saya Hambar Tak Sangka Pulak ..” – Keluar Daripada Zon Selesa, Riena Diana Berjaya Bawa Watak Komedi

Pelakon Riena Diana akui telah mencabar dirinya untuk membawa watak komedi dalam drama bersiri Kampung People.

Riena bagaimanapun pada awalnya tidak menyangka akan menerima sambutan positif daripada penonton kerana beranggapan dirinya seorang yang ‘hambar’.

“Sebelum ini, saya tak pernah bawa watak komedi jadi ini merupakan perkara baru dalam diri saya.

“Apa yang membuatkan saya terima tawaran ini adalah kelainan watak. Saya memang nekad untuk cabar diri keluar daripada zon selesa.

“Awal-awal saya tidak menidakkan perasaan gementar itu ada. Saya fikir diri saya hambar, tak sangka pulak mampu buat orang lain ketawa pecah perut.

“Tapi bila dah masuk set penggambaran, lain pulak yang jadi. Kak Lina (Elly Mazlein) dan pengarah sangat membantu untuk menghidupkan watak Laila,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah pemilik nama Nur Qamarina Diana Zulreal tidak menafikan watak Laila membuatkan dirinya lebih dikenali dalam kalangan peminat.

“Watak tersebut secara tak langsung membuatkan saya lebih dikenali kerana ramai yang menyukainya.

“Namun ada juga yang menganggap saya pelakon baru. Saya tidak kisah ataupun terasa hati kerana kurang popular berbanding dengan pelakon muda yang lain.

“Zaman sekarang ni pun ramai yang tidak menonton televisyen. Saya lebih suka orang kenal disebabkan bakat yang ada.

“Saya percaya rezeki saya belum sampai lagi. Tapi papepun, alhamdulillah tawaran tidak pernah putus,” katanya lagi.

Selain Riena, drama ini turut dibintangi oleh Elly Mazlein, Rashidi Ishak, Kamarul Eqifshah, Namron, Fizz Fairuz, Hun Haqeem, Razak Ahmad, Shah Kimin dan ramai lagi.

Kampung People akan menemui penonton di Slot Lestary pada setiap hari Rabu hingga Jumaat, jam 9.00 malam.

Sumber : Gempak

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*